BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, April 2, 2010

CINTA HALAL

Cinta yang halal bagiku adalah cinta yang tidak berlandaskan nafsu semata-mata. Hakikatnya cinta yang halal adalah cinta selepas pernikahan. Tidak seperti kebanyakan cinta remaja zaman sekarang. Cinta yang aku harapkan adalah cinta yang akan membawaku menuju syurga Allah. Seringkali doa aku panjatkan dalam sujudku agar Dia memberikan aku cinta yang halal. Aku mengharapkan agar insan yang akan menemaniku sepanjang hidupku ini adalah seorang yang diredhai oleh Allah. Dan aku mengharapkan agar dia adalah seorang yang aku redhai agamanya.

Aku juga seperti wanita lain. Adakalanya aku tewas dalam menghadapi dugaan cinta lelaki. Mungkin kerana sudah menjadi fitrah manusia untuk mengasihi dan dikasihi. Memang perit andainya cinta yang bertamu di hati terpaksa diusir jauh. Namun,aku redha. Demi mendapatkan cinta yang benar-benar halal,aku pasrah. Mungkin ada hikmah atas segala yang berlaku.

Aku tetap bersyukur kerana walaupun pernah kalah dalam jihad melawan cinta remaja,aku masih mampu mempertahankan maruah dan harga diri. Takkan sekali-kali aku serahkan mahkota kesucianku kepada yang haram memilikinya. Segala-galanya aku simpan untuk dia yang halal bagiku. Aku tidak mahu baitul muslim yang akan aku bina nanti dicemari noda cinta yang terlarang. Biarlah mahligai impianku bermula dengan penuh rahmat dan berkat dari Ilahi.

Aku kini berpegang kepada satu prinsip. Cinta untuk suami takkan aku kongsi dengan sesiapa pun. Hanya kepada dia akan kuberikan sepenuh perhatian dan cintaku. Selagi aku belum bersedia untuk bergelar seorang isteri, biarlah cinta dihatiku ini aku abadikan untuk kedua orang tuaku dan agamaku. Aku tahu takkan berkat hidupku andainya aku utamakan cinta kepada manusia lebih dari cinta kepada Allah. Hanya DIA sahaja yang mampu memberikan kebahagiaan yang kekal abadi di dunia dan di akhirat.

Aku akan menanti dengan penuh kesabaran. Walau siapapun yang menjadi pilihan kedua orang tuaku,akan kuterima dengan rela hati. Itulah yang sebaik-baiknya. Aku tahu mereka akan memilih lelaki yang benar-benar beriman dan bertanggungjawab untuk mengemudi bahtera perkahwinan kami. Telah aku tegaskan bahawa bukan harta yang aku lihat dalam diri seorang lelaki. Cukuplah sekiranya dia mampu membimbingku menuju jalan Allah. Yang penting iman,itu kataku.

Aku akan mempersiapkan diriku dengan sebaik mungkin agar aku mampu menjadi seorang isteri yang solehah. Bukankah Allah telah berjanji bahawa wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Demi cinta yang halal,aku akan berjuang menentang dugaan cinta remaja. Segalanya demi CINTA HALAL...

Ana Muslimah...